Archives
Nama Botani
Hibiscus sabdariffa L
Nama Lain
Asam paya, asam susur, asam kundang, roselle (Inggeris), sorrel
Famili
Malvaceae
Pengenalan
Rosel banyak terdapat di kawasan yang beriklim tropika dan subtropika seperti di Afrika, India dan Asia termasuk Malaysia. Kini terdapat lebih dari 300 spesies tanaman rosel di seluruh dunia. Pokok ini boleh mencapai ketinggian lebih kurang 2 m dengan dahannya yang tumbuh menegak di peringkat awal dan melentur rebah apabila banyak buah. Batang, dahan serta tangkainya berwarna merah. Daunnya pula berwarna hijau dan berbentuk tapak tangan dengan tiga cuping yang meruncing ke hujung. Bunga rosel keluar di setiap sendi daun, berwarna kuning muda dan merah jambu manakala lengainya berwarna merah gelap dan berbentuk bujur.
Khasiat dan Kegunaan
Kaliks atau kelopak buah rosel yang berwarna merah kaya dengan vitamin A dan C serta zat mineral. Dengan menjadikannya sebagai teh ubatan, herba ini dapat membantu mempercepatkan peredaran darah, mengurangkan tekanan darah tinggi di samping memberi kesan awet muda. Kaliksnya boleh diproses menjadi jem, halwa, jeli, jeruk dan juga pewarna makanan. Pemprosesan biji rosel boleh dijadikan bahan kosmetik sementara kulitnya pula boleh dibuat tali.
Nama Botani
Centella asiatica (L) Urban
Nama lain
Pennywort (Inggeris), Pegaga (Melayu), Pegagan (Filipina), Buabok (Thai), Ching Chow Sui (Cina), Mandookaoarni (Sanskrit), Gotu cola (India)
Famili
Umbelliferae
Pengenalan
Pegaga (Centella asiatica (L) Urban) berasal dari kawasan Asia dan juga Afrika Timur iaitu India, Sri Lanka dan Madagascar. Kemudian ia tersebar ke kawasan Asia Tenggara dan kawasan-kawasan lain seperti Malaysia, Pakistan, China, Jepun, Afrika Timur, West Indies, Amerika Selatan dan Australia. Ia didapati tumbuh meliar di kawasan lembap yang berdekatan dengan air (di persisiran sungai dan tali air). Kebanyakan spesies boleh tumbuh di kawasan terbuka manakala terdapat juga spesies yang memerlukan keadaan lindungan yang sederhana. Pegaga tumbuh menjalar di atas tanah dan mengeluarkan akar pada setiap ruas daun. Daunnya berbentuk otak atau ginjal dengan bahagian tepi daun bersifat licin atau bergerigi mengikut jenis. Lebar daun antara 3–5 cm dan panjang tangkai daun boleh mencapai 15 cm mengikut kultivar, kesuburan dan kepadatan tanaman. Bunganya dalam jambak 3–4 kuntum dengan kelopak berwarna putih atau merah jambu. Buahnya berbentuk pipih berukuran di sekitar 3 mm dan kelihatan seperti biji cili. Terdapat 3 jenis pegaga iaitu Centella asiatica, Merremia emarginata dan Hydrocotyle spp. Spesies asiatica lebih dikenali kerana dapat mengubati berbagai-bagai jenis penyakit.
Khasiat dan Kegunaan
Pegaga mengandungi bahan aktif seperti triterpenoid glikosida (terutama asiatikosida, asid asiatik, asid madecassik, madikassosida), flavenoids (kaemferol dan quercetin), volatile oils (vallerin, camphor, cineole dan sterols tumbuhan seperti campesterol, stigmasterol, sitosterol), pektin, asid amino, alkaloid hydrocotyline, myositol, asid bramik, asid centellik, asid isobrahmik dan asid betulik. Di Malaysia, pegaga amat popular di kalangan tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Bagi kaum Melayu, ia di makan secara segar sebagai ulam, bagi kaum Cina digunakan sebagai minuman penyejuk badan, manakala bagi kaum India, digunakan sebagai tonik kecerdasan minda.
Nama Botani
Pandanus odorus
Nama lain
Fragrant screwpine (Inggeris)
Famili
Pandanaceae
Pengenalan
Pandan wangi yang juga dikenali sebagai pandan bau atau pandan rampai adalah dari jenis tanaman bersifat saka. Tumbuhan dari keluarga Pandanaceae ini adalah sekeluarga dengan pokok mengkuang. Pokok pandan wangi adalah tanaman yang mudah tumbuh dan dipelihara. Tanaman yang dipercayai berasal dari Bangka, Indonesia ini telah tersebar luas di kawasan tropika Asia Tenggara. Walaupun sudah berabad-abad lamanya tanaman ini berada di negara kita, kebanyakan tanamannya masih terdapat di kebun dapur. Kawasan tanaman secara komersial pula amat terhad.Pandan wangi tumbuh berumpun dan mempunyai daun yang panjang dan meruncing di hujung seperti pedang. Tanaman ini tidak pernah dilaporkan berbunga. Terdapat dua jenis pandan wangi iaitu Pandan wangi besar dan Pandan wangi kecil. Kebanyakan tanaman pandan wangi di negara ini adalah dari jenis Pandan wangi kecil. Ketinggian pertumbuhannya lebih kurang 0.75–1.50 m. Ukuran panjang daun antara 55–75 cm dan lebar di bahagian tengah antara 4–5 cm. Manakala ketinggian Pandan wangi besar pula adalah 3.7–4.Khasiat dan Kegunaan
Pandan wangi mempunyai berbagai-bagai kegunaan dalam penyediaan makanan tradisional terutama di kalangan masyarakat Melayu di negara ini. Ia di gunakan sebagai pewarna, pewangi serta perangsang selera. Kini ekstraknya telah digunakan oleh beberapa syarikat pengeluar roti, kek, biskut dan kuih-muih sebagai pewarna dan perisa asli pandan. Di samping itu, terdapat juga produk seperti minuman kacang soya dan santan kelapa yang berperisa pandan di pasaran. Pandan wangi juga dikatakan mempunyai khasiat perubatan. Bagi kegunaan perubatan pula antaranya adalah untuk merawat penyakit demam campak dan juga dikatakan berkesan bagi mengubati penyakit gonorea, sifillis, denggi dan anaemia
Nama Botani
Tinosprora Tuberculata
Nama Lain
Patawali, Putawali, Akar Seruntum
Famili
Menispermaceae
Pengenalan
Pokok jenis memanjat yang berkayu lembut. Batang poko berkeadaan berbintil-bintil, berkulit nipis dan mudah dipisahkan. Ukuran garispusat batang ialah antara 1.0-1.5 cm, mengeluarkan getah putih dan berlendir, dan rasanya pahit. Daun bersifat ringkas, nipis, lembut, berbentuk hati dan tersusun secara berselang. Ukurannya ialah lebih kurang 9-10 cm panjang dan 7-8 cm lebar. Permukaan di bahagian atas dan bawah daun adalah licin. Bahagian hujung daun berkeadaan runcing. Peruratan palmat dengan 7 urat utama yang nampak jelas pada permukaan bawah daun. Tangkai daun berukuran 4-5 cm panjang.
Khasiat dan Kegunaan
Air seduhan batang patawali diminum bagi membunuh cacing dalam perut sementara air seduhan keseluruhan tumbuhan digunakan bagi merawat cholera, juandis, darah tinggi, sakit perut dan kencing manis. Penggunaan luarannya pula adalah bagi merawat kudis buta dan luka. Adalah dipercayai bahawa dengan meminum air rebusan patawali secara berterusan akan dapat mengelak daripada gigitan nyamuk dan menghalang jangkitan penyakit malaria.
Nama Botani
Pogostemon cablin (Blanco)Benth
Nama lain
Patchouli (Inggeris)
Famili
Lamiaceae
Pengenalan
Tanaman nilam (Pogostemon cablin) dipercayai berasal dari Filipina dan banyak terdapat di hutan-hutan kepulauan Filipina. Ia dibawa masuk dan ditanam di Semenanjung Malaysia pada awal tahun 1800. Walau bagaimanapun pada awal 1900 dengan kemasukan tanaman getah yang lebih menguntungkan, tanaman nilam tidak lagi diminati oleh pekebun kecil di Malaysia. Sekarang nilam diusahakan secara komersial di Indonesia (Acheh), China dan Brazil. Nilam merupakan tanaman herba renik, mempunyai banyak cabang dan tumbuh sehingga 1.0 m tinggi. Daunnya berbentuk ovate, 8−10 cm panjang dan 5−8 cm lebar, tebal dan bergerigi. Ia berwarna hijau tua keungun-unguan dan mengeluarkan aroma yang unik bila diramas. Batang dan cabangnya berwarna ungu, berbentuk empat segi dan diselaputi bulu yang halus. Nilam didapati tidak berbunga di Malaysia.
Khasiat dan Kegunaan
Dari segi perubatan tradisional, air rebusan daun nilam dilaporkan digunakan untuk mengubati sakit tekak, asma, batuk dan demam.Daun nilam yang beraroma boleh menghasilkan minyak pati yang dikenali sebagai `patchouli oil’ di pasaran antarabangsa. Antara bahan kimia yang terdapat dalam ‘patchouli oil’ termasuklah benzaldehyde, cardinene, cinnamic aldehyde, eugenol dan ‘patchouli alcohol’. Minyak nilam banyak digunakan dalam industri wangian dan cirinya yang boleh mengikat (fixative) minyak pati yang lain menjadikanya sangat penting dalam pembuatan minyak wangi. Minyak nilam juga digunakan dalam membuat produk seperti sabun, bahan pencuci, syampudan ubat antiserangga. Pada konsitrasi yang rendah, minyak nilam juga digunakan sebagai bahan perisa dalam produk minuman dan makanan.
Nama Botani
Morinda citrifolia Linn.
Nama lain
Noni, Indian mulberry, Painkiller (Inggeris), Pace, Cangkudu (Indonesia), Yo ban (Thai), Nhau (Vietnameses)
Famili
Rubiaceae
Pengenalan
Mengkudu ialah tanaman bersifat saka berasal dari Asia, Australia dan kepulauan Pasifik. Ia telah hidup secara liar berabad-abad lamanya di negara kita dan kurang mendapat perhatian semasa itu. Kebanyakannya terdapat dikawasan pinggir hutan dan berdekatan dengan perparitan dan sungai. Tanaman ini mempunyai batang pokok yang lurus, berdaun lebar, bunga berwarna putih, buah berbentuk bujur dan bertukar dari hijau ke putih kekuningan apabila matang. Buah yang masak mempunyai bau yang kurang menyenangkan. Ketinggian pokok boleh mencapai lebih kurang 10 m. Dua spesies tanaman mengkudu yang biasa terdapat di negara ini ialah Morinda citrifolia (mengkudu besar atau mengkudu laut) dan Morinda elliptica (mengkudu kecil atau mengkudu hutan). Terdapat variasi yang ketara dari segi saiz dan bentuk buah.
Khasiat dan Kegunaan
Mengkudu mempunyai pelbagai kegunaan. Ia telah digunakan sejak turun-temurun dalam perubatan tradisional terutama di kalangan masyarakat Melayu. ‘Penemuan semula’ dan minat masyarakat umum terhadap tanaman ‘ajaib’ ini bermula pada penghujung 1998 selepas penemuan saintifik tentang bahan aktif serta fungsinya oleh seorang ahli biokimia dari Universiti Hawaii. Satu bancian yang dijalankan di Amerika Syarikat melaporkan sebanyak 22 jenis masalah kesihatan telah dapat dibantu dengan pengambilan mengkudu. Antaranya ialah kanser, kencing manis, darah tinggi, tulang, jantung, kemurungan, pernafasan, penghadaman dan buah pinggang. Mengkudu juga boleh dibangunkan ke produk kumpulan makanan seperti makanan kesihatan/tambahan, tonik, minuman dan perubatan tradisional dan barangan bukan makanan seperti kosmetik, penjagaan/kesihatan diri dan biopesticid.












