TONGKAT ALI HITAM



TONGKAT ALI HITAM

Nama Botani

Polyathia Bulata


Nama Lain

Tongkat Ali Hitam, Tongkat Ali Baginda, Sepelih Angin

Famili

Annonaceae

Pengenalan

Pokok bersaiz kecil atau shrub ini boleh mencapai ketinggian sehingga 2-3 m. Ranting muda dilitupi dengan rambut atau bulu yang agak jelas, berwarna keemasan. Daunnya ringkas, berwarna hijau, berbentuk bujur panjang ('lanceolate' atau 'oblanceolate') berukuran 30-35 cm panjang dan 10-12 cm lebar. Di bahagian atas permukaannya berkilat, mempuyai 25-40 pasang urat dan dibahagian hujungnya tajam ('acute'). Tangkainyaberukuran 2-3 cm panjang. Bunganya berwarna krim (kelabu kemerahan) dengan 6 kelopak yang panjang.

Khasiat dan Kegunaan

Tumbuhan ini digunakan secara tradisi untuk menguatkan tenaga batin lelaki. Air rebusan diminum sebagai tonik. Selain daripada itu, tumbuhan ini digunakan untuk menguatkan buah pinggang dengan meminum air rebusannya secara berterusan selama satu bulan. Tumbuhan ini juga digunakan untuk merawat darah tinggi dan kencing manis dengan menghancurkan bunga, akar dan daun sehingga menjadi serbuk lalu dimakan. Salah satu kaedah yang biasa diamalkan dalam penggunaanya bagi merawat masalah lemah tenaga batin ialah dengan meminum secara berterusan air rebusan akar P. bullata yang dicampur dengan akar dedawai (Smilax myosotiflora), itah tembaga (Smilax calophylla), mentimun tikus (Cyclea laxiflora) serta akar secancang (Lasianthus cyanocarpus).

TEA TREE



TEA TREE

Nama Botani

Melaleuca alternifolia Cheel

Nama Lain

Gelam wangi, Tea tree (Inggeris)

Famili

Myrtaceae


Pengenalan

Tea tree dipercayai berasal dari benua Australia. Tanaman bersifat saka ini boleh hidup subur di kawasan beriklim tropika. Ia merupakan tanaman jenis berkayu dengan ketinggian 4-7 m. Kulitnya menyerupai kertas dan boleh disiat dalam bentuk kepingan. Daunnya kecil tersusun berlingkar di sepanjang ranting. Di akhir ranting dahan terdapat kuntum bunga yang berwarna putih. Setiap lengainya mempunyai tiga ruang, bersaiz lebih kurang 3 mm panjang.Ianya boleh menghasilkan antara 100 hingga 150 biji behih yang kecil dan keras berwarna coklat. Minyak pati tea tree di hasilkan dengan cara menyuling daun segar selepas sahaja dituai.

Khasiat dan Kegunaan

Ekstrak minyak tea tree banyak digunakan dalam barangan penjagaan kesihatan terutama penjagaan kulit. Ia merupakan agen bagi antikulat dan antibakteria yang mujarabdalam penyediaan barangan untuk penjagaan kulit. Tindakan minyak ini terhadap sel epitelium manusia adalah rendah dari segi ketoksikannya. Produk farmaseutikal dari formulasi tea tree adalah bagi rawatan penyakit jerawat, kelemumur dan masalah tinea.

SENNA MEKAH



Nama Botani

Cassia angustifolia Vahl

Nama Lain

Mecca senna, Tinnevelly senna (Inggeris), Nilavarai, Nelavakai (India), Makham khaek (Thai), Fan xia ye (China)

Famili

Leguminosae

Pengenalan

Senna mekah adalah sejenis tanaman semusim yang renek berasal dari negeri Yemen di selatan Arab. Kini ia ditanam secara komersial di India, Pakistan dan China. Ia sesuai ditanam di tanah lom berpasir dan aluvium berlom. Tanaman ini mempunyai batang berkayu lurus, bercabang dan berwarna hijau pucat. Ketinggiannya boleh mencapai 60- 100 cm. Daunnya berpasangan dan setiap tangkai mempunyai beberapa pasang daun. Kudup sena mekah akan keluar setelah 40 hari penanaman dan berkembang sepenuhnya selepas 65 hari. Bunganya berwarna kuning serta buahnya berbentuk pipih dan lembut. Buahnya ini berwarna perang kehijauan ketika muda dan perang gelap setelah matang.

Khasiat dan Kegunaan

Herba ini berupaya merawat pelbagai penyakit seperti penyakit kulit, sembelit, cacing, anemia, deman panas, taun, bronkitis, batuk, gout, reumatisme dan penyakit kuning, Kini ia dipercayai dapat merawat jerawat dan kurap serta menghilangkan sembelit.

SELASIH



SELASIH

Nama Botani

Ocimum basilicum Linn.


Nama lain

Sweet Basil, French Basil (Inggeris), Barbar,Tulsi (Hindi), Raihan (Arabic),Bai horapa (Thai)

Famili

Lamiaceae

Pengenalan

Selasih merupakan satu darpadai spesies tumbahan yang secara umumnya di kenali sebagai basil. Terdapat lebih kurang 150 spesies dari genus Ocimun ini dan spesies basilicum merupakan yang terpenting. Ia telah lama diketahui mempunyai kepelbagaian sumber dan kaya dengan minyak pati. Tumbuhan ini berasal dari kawasan tropika dan separa tropika benua Asia, Afrika dan Amerika Tengah serta Selatan. Kini tersebar luas di kawasan panas di kedua-dua hemispera dari aras laut hingga lebih kurang 1,800 m tinggi. Walau pun tanaman selasih telah berabad-abad lamanya berada di negara kita, namun ia masih ditanam dikawasan kebun dapur iaitu bagi kegunaan sendiri.Selasih ialah sejenis tanaman semusim yang tumbuh menegak dengan ketinggian antara 30–90 cm. Batangnya bersegi dan berwarna sama ada hijau, ungu atau perang. Daunnya berwarna hijau pekat, tunggal dan berbentuk bujur telur (‘ovate’). Di negara ini pada kebiasaannya pembungaan bagi tanaman dari biji benih bermula selepas lebih kurang 75 hari selepas di tanam ke ladang. Bunganya terdapat dibahagian hujung batang dan dahan pokok. Keseluruhan bahagian tumbuhan boleh mengeluarkan bauan yang sangat beraroma.

Khasiat dan Kegunaan

Tanaman selasih mempunyai berbagai-bagai kegunaan. Di Malaysia tumbuhan ini digunakan dalam masakan dan dikatakan mempunyai khasiat perubatan. Di Amerika pula disebabkan kecantikan dan bau yang menarik beberapa baka terpilih telah jadikan sebagai tanaman landskap dan tanaman hiasan. Di samping itu ia dianggap sebagai salah satu herba kulinari yang terkenal dan juga dijual sebagai bunga segar dan produk kering. Minyak pati yang dihasilkan melalui pengekstrakan daun dan bunga digunakan dalam industri minyak wangi, farmasiutikal, aromaterapi dan makanan dengan manfaatkan bauan dan perisa yang asli.

SERAI WANGI


SERAI WANGI

Nama Botani

Cymbopogon nardus (L.) rendle


Nama lain

Sereh wangi (Indonesia), Citronella (Inggeris)

Famili

Graminae

Pengenalan

Tanaman Serai Wangi (Cymbopogon nardus) dipercayai berasal sama ada dari Selatan India atau Sri Lanka. Serai Wangi juga tumbuh liar di kebanyakan negara di Asia Tropika, Amerika dan Afrika. Di Malaysia, serai wangi biasanya ditanam di halaman rumah sebagai tanaman dapur dan kebelakangan ini terdapat beberapa pengusaha yang berminat untuk menanam serai wangi bagi menghasilkan minyak patinya. Serai wangi ialah sejenis tanaman rumput yang tinggi dan mempunyai rimbunan daun yang lebat. Ia boleh tumbuh sehingga 1.0–1.5 m. Daunnya bersifat tirus, panjang sehingga 70 – 80 cm dan 2 – 5 cm lebar. Ia berwarna hijau muda, kasar dengan urat yang selari dan mempunyai aroma yang lebih kuat jika dibandingkan dengan serai makan. Serai wangi jarang berbunga dan hanya berbunga bila sudah cukup matang iaitu pada peringkat umur melebihi 8 bulan.

Khasiat dan Kegunaan

Dari segi ubatan tradisional serai wangi digunakan untuk rawatan selepas bersalin dan pening kepala. Caranya adalah dengan menggunakan air rebusannya sebagai mandian atau dibasahkan kepala dan dilapkan pada seluruh badan. Ia juga banyak digunakan dalam menghasilkan minyak urut untuk mengatasi masalah kebas-kebas, lenguh-lenguh, gigitan serangga dan kembung perut. Bagaimanapun di kebanyakan negara serai wangi ditanam khas untuk pengeluaran minyak patinya. Serai wangi menghasilkan minyak pati yang dikenali sebagai `citronella oil’ di pasaran antarabangsa. Minyak sitronela mengandungi dua bahan kimia penting iaitu sitronelal dan geraniol. Sitronelal dan geraniol amnya digunakan untuk bahan dasar pembuatan ester-ester seperti hidroksi sitronelal, genaniol asetat dan mentol sintetik yang mempunyai sifat lebih stabil dan banyak digunakan dalam industri wangi-wangian. Hidroksi sitronelal penting untuk sabun dan minyak wangi yang berharga tinggi, manakala mentol untuk bahan dasar ubat batuk, ubat gigi dan pencuci mulut.

SERAI MAKAN



SERAI MAKAN

Nama Botani

Cymbopogen citratus (DC.) Stapf.


Nama lain

Sereh makan (Indonesia), Takrai (Thailand)Lemongrass (Inggeris)

Famili

Graminae

Pengenalan

Tanaman serai makan (Cymbopogen citratus) dilaporkan berasal dari Sri Lanka dan telah tersebar luas di kawasan Tropika, termasuk Malaysia, Indonesia, Tanzania, Brazil, Guatemala dan China. Di Malaysia khususnya, serai makan banyak di tanam sebagai tanaman dapur. Batangnya dituai untuk kegunaan segar sebagai perisa dalam masakan. Serai makan ialah sejenis tanaman rumput yang beraroma dan mempunyai rimbunan daun yang lebat. Pada setiap rumpun terdapat banyak batang yang tumbuh daripada rizom. Batangnya berwarna putih keunguan atau kemerahan. Daunnya tirus, melampai, panjangnya 60−100 cm dan lebar 1.0−1.5 cm. Ia berwarna hijau muda, kesat dengan urat yang selari. Serai makan jarang didapati berbunga di Malaysia.

Khasiat dan Kegunaan

Di Malaysia, serai makan terutama batangnya digunakan sebagai bahan perisa dalam masakan tradisional seperti masakan rendang, tomyam, kerabu, masak lemak cili padi dan asam pedas. Aroma dan rasanya yang unik dapat menambahkan keenakan masakan dan meningkatkan selera.
Di sesetengah negara, serai makan diusahakan khas untuk pengeluaran minyak pati. Minyak pati serai makan berwarna kuning hingga coklat kemerahan dan berbau limau atau `lemon’. Minyak ini terdiri daripada beberapa sebatian dan kandungan utamanya ialah sitral iaitu sejenis aldehide. Peratusan sitral dalam minyak pati serai makan adalah antara 65% hingga 85%. Sebatian-sebatian lain yang menpunyai lebih rendah peratusannya termasuklah linalol, geraniol, citronellal, citronellol, farnesol, farnesal, limonene dan nerol.
Minyak pati serai makan diguna sebagai pewangi sabun, bahan pencuci, syampu dan produk lain.. Walau bagaimanapun sebahagian besar daripadanya digunakan untuk mendapatkan sitral (secara isolasi fizikal) dan ionones (secara tindak balas kimia terhadap sitral).

SIAK-SIAK



SIAK-SIAK

Nama Botani

Daniella Ensifolia


Nama Lain

Siak-Siak

Famili

Liliaceae

Pengenalan

Herba jenis renek ini tumbuh berumpun dan ketinggiannya boleh mencapai 1 m. Daunnya panjang (eliptik atau lanseolat), agak keras, berpelepah dan hujungnya tajam (akut). Bunga terbit dihujung tangkai yang panjang melebihi helaian daun (30 -60 cm). Bunga biseksual, berwarna ungu kebiruan dan kadangkala putih atau kekuningan. Buah bentuk beri, bergarispusat 9-15 mm, berwarna biru keungguan dan lebih berkilau setelah matang. Setiap buah mempuyai 3-4 biji. Biji berbentuk ovoid, berukuran 5 mm panjang, lembut, hitam tetapi berkilau.

Khasiat dan Kegunaan

Akar pokok siak yang telah dikeringkan dikunyah atau pes akarnya yang segar disapu pada perut bagi merawat kecacingan. Pokok herba ini dikatakan dapat mengubati penyakit batu karang dengan meminum air rebusan akarnya. Air rebusan tumbuhan ini juga digunakan untuk perawatan selepas bersalin. Abu akar dan daun pokok siak digunakan sebagai ubat sapu untuk merawat bisul, gatal, juandis, kudis herpes dan sakit urat. Rizom pokok siak ditumbuk dan digaul bersama nasi, jagung atau bahan makanan lain digunakan sebagai umpan untuk membunuh tikus.